Saturday 11 August 2012

PerGaulan Dlm Islam


PERGAULAN SILANG JANTINA DALAM ISLAM
(alias othman)



(1) Batas Pergaulan Silang Jantina Dalam Masyarakat.


1. Pengertian pergaulan.

Gaul atau campur dalam Bahasa Arab disebut “khalato” ( خلط ) . Bercampur atau bergaul disebut
( اختلاط ) yakni, apabila sesuatu itu bercampur dengan yang lain. Pergaulan antara lelaki dan perempuan bermaksud apabila lelaki dan perempuan, mahram atau ajnabi, bercampur atau bergaul dalam satu tempat, bilik, ruang atau dewan yang pada kebiasaannya mereka akan bertemu muka, berhadapan, berinteraksi, bercakap, bertegur sapa antara satu sama lain. Namun demikian perbincangan di sini akan memfokuskan kepada pergaulan antara lelaki ajnabi dengan perempuan.

Perkataan ajnabi bermaksud lelaki yang halal berkahwin dengan seseorang perempuan, sama ada halal sekarang atau akan halal pada masa akan datang.

2. Hukum asal pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi .


Apakah hukum asal pergaulan antara lelaki ajnabi dengan wanita diharuskan atau ditegah ?. Untuk menjawab soalan ini kita perlu menjawab satu soalan lain. Soalan itu ialah: Apakah pergaulan perempuan dengan lelaki ajnabi sama sahaja dengan pergaulan lelaki dengan lelaki lain. Jawabnya tentu tidak, kerana amat jauh bezanya pergaulan lelaki sesama lelaki dengan pergaulan perempuan dengan lelaki ajnabi. Oleh kerana ia tidak sama maka hukumnya juga tidak sama. Dan oleh kerana hukum asal pergaulan antara lelaki dengan lelaki adalah diharuskan maka hukum asal pergaulan antara lelaki ajnabi dan perempuan adalah tidak diharuskan. Yakni ditegah.

Tiada dalil syarak yang sahih menunjukkan hukum pergaulan silang jantina ditegah. Tegahan hanya dapat dirumuskan berdasarkan dalil-dalil syarak dalam kes-kes lain. Kes-kes itu ialah: 

2.1.Wanita ditegah musafir tanpa mahram dan tegahan khalwat.
Rasulullah (s) bersabda: لاتسافر المرأة إلا مع ذى محرم ولا يدخل عليها رجل إلا ومعها ذو محرم 
Baginda bersabda lagi: لا يخلون رجل بامرأة إلا ومعها ذو محرم 
Kedua dua hadis ini menegah wanita musafir dan berkhalwat dengan lelaki ajnabi tanpa mahram. Hukum ini telah disepakati oleh para fukaha. Tidak ada perbezaan antara khulwat semasa solat dan di luar solat. Selain daripada itu para fukaha juga sepakat mengecualikan tegahan pergaulan ini atas alasan darurat atau hajah. Pengecualian ini menunjukkan bahawa hukum asalnya ialah ditegah. Kalau ia tidak ditegah apa perlunya ia dikecualikan semasa darurat dan hajah.

Kesimpulannya, nas syarak ini membuktikan bahawa hukum asal pergaulan antara lelaki ajnabi dengan wanita adalah ditegah. 

2.2.Wanita tidak wajib jihad.
Aisyah ( r ) berkata: إستأذنت النبي (ص) في الجهاد فقال: جهادكن الحج
“saya minta izin Rasulullah s.a.w.(untuk turut)dalam perang jihad. Baginda bersabda:Jihad kamu (wanita) adalah haji”. 
Hadis ini menunjukkan bahawa jihad tidak diwajibkan ke atas kaum wanita kerana dalam jihad wanita terpaksa melakukan perkara yang bercanggah dengan tuntutan menutup aurat dan tegahan supaya tidak bercampur-aduk dengan lelaki yang diwajibkan ke atas mereka.

2.3.Wanita tidak wajib solat jemaah.

Bagi sesetengah fukaha’ solat jemaah wajib ke atas lelaki, tetapi mereka sepakat mengatakan ia tidak wajib ke atas wanita, malah ia diharuskan sahaja. Itu pun dengan syarat-syarat tertentu. Pensyaratan ini menunjukkan bahawa hukum asal pergaulan silang jantina ajnabi adalah ditegah.

2.4.Wanita tidak wajib solat Jumaat.
Fukaha’ sepakat wanita tidak wajib menunaikan solat Jumaat. Alasannya kerana wanita sibuk dengan urusan rumah tangga dan ditegah keluar ke perhimpunan kaum lelaki kerana mengelak fitnah.

2.5.Hukum khusus bagi wanita semasa mengerjakan haji.
Hadis Ummu Salamah menyatakan bahawa Baginda (s) bersabda kepadanya: 
طوفي من وراء الناس وأنت راكبة 
“tawaflah di belakang orang ramai dan kamu menunggang”.

Para fukaha’ mengatakan wanita digalakkan tidak mendekati Kaabah semasa tawaf jika kaum lelaki ramai melakukan tawaf. Mereka sepatutnya tawaf jauh dari Kaabah supaya tidak berlaku pergaulan dengan lelaki. Sekiranya kaum lelaki tidak ramai di tempat tawaf mereka bolehlah tawaf berhampiran Kaabah.

Al-Karamani berpendapat, Baginda mengarahkan Ummu Salamah tawaf jauh dari kaum lelaki kerana sunnah kaum wanita semasa tawaf ialah wanita menjauhkan diri dari kaum lelaki.

Selain dari itu wanita dirukhsahkan melontar jamrah pada hari nahar ( يوم النحر ) sebelum fajar untuk mengelakkan kesukaran berebut-rebut dengan kaum lelaki.

2.6.Tegahan wanita berjalan seiringan dengan lelaki.
Diriwayatkan daripada Hamzah bin Usaid al-Ansari, beliau meriwayatkan dari bapanya bahawa bapanya mendengar Rasulullah (s) bersandar semasa Baginda keluar dari masjid dan kaum wanita campur aduk dengan lelaki di tengah jalan: 
استأخرن فإنه ليس لكن أن تحققن الطريق ، عليكن بحافات الطريق 
“ke belakanglah, sesungguhnya kamu tidak boleh berada di tengah jalan, kamu mestilah (berjajan) di tepi jalan”. 

lantas kaum wanita merapatkan diri mereka ke tepi-tepi dinding, sehingga ada di antara mereka yang pakaiannya tersangkut didinding kerana terlalu rapat ke dinding.

Dalam hadis ini Rasulullah (s) mengarahkan kaum wanita berjalan di tepi jalan, tidak di tengah-tengahnya, supaya mereka tidak bercampur aduk dengan kaum lelaki. Para sahabiyat telah mematuhi arahan Baginda dengan beredar ke tepi jalan hingga hampir ke dinding-dinding rumah dan ada pakaian mereka yang tersangkut di dinding kerana mereka terlalu rapat dengannya. Ini menunjukkan betapa mereka berusaha mengelak diri dari berjalan di tengah jalan supaya tidak bergaul dengan kaum lelaki.

Hadis ini menunjukkan tegahan pergaulan antara wanita dan lelaki ajnabi. Dan sekali lagi ia menunjukkan bahawa hukum asal pergaulan ini adalah ditegah.

3. Bergaul dalam keadaan tertentu.


Walau pun hukum asal pergaulan antara wanita dan lelaki ajnabi adalah ditegah, tetapi ia dibolehkan atas alasan darurat, hajah syar`iyyah, maslahat syar`iyyah atau kerana kebiasaan adat setempat yang syar`ie.

3.1.Boleh bergaul kerana darurat.
Boleh bergaul silang jantina ajnabi atas alasan darurat. Contohnya lelaki lari bersama perempuan ajnabiyah (bukan mahram) untuk mengelakkannya daripada diperkosa.

3.2.Boleh bergaul kerana hajah.

a) Boleh bergaul kerana urusan muamalat yang syar`ie seperti jual beli dan lainnya dengan syarat tidak berkhalwat.

b) Boleh bergaul kerana melaksanakan tugas kehakiman dan perbicaraan. Dalam Mazhab Hanafi wanita boleh jadi hakim dalam kes-kes bukan hudud, malah Mazhab al-Zahiri berpendapat boleh dalam semua kes. Tugas hakim memerlukan wanita bergaul dengan lelaki.

c) Boleh bergaul kerana wanita perlu mengemukakan kesaksian dalam perbicaraan. Wanita memang boleh jadi saksi. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 282: 
فإن لم يكونا رجلين فرجل وامرأتان ممن ترضون من الشهداء 
“jika keduanya (saksi) bukan dua lelaki maka ia hendaklah terdiri dari seorang lelaki dan dua orang perempuan dari kalangan saksi yang kamu reda”.

d) Boleh bergaul kerana wanita menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan. Umar bin al-Khattab telah melantik al-Syifa’ sebagai pegawai penguat kuasa di majlis perbandaran.

e) Boleh bergaul untuk tujuan memberi khidmat kepada tetamu ajnabi jika suami turut hadir bersama. Bukhari meriwayatkan, apabila Abu Usaid berkahwin dia menjemput Rasulullah (s) dan sahabat. Tiada siapa yang menyedia dan menghidangkan makanan kecuali isterinya Ummu Usaid. Dia membasahkan tamar dan meletakkannya ke dalam bekas diperbuat dari batu. Kejadian itu berlaku waktu malam. Apabila Baginda selesai makan Ummu Usaid Mengesat tangan Baginda dan memberinya minum. Dia melayan Baginda dengan baik. Jelas hadis ini menunjukkan Ummu Usaid berada bersama suaminya memberi khidmat kepada Rasulullah (s) sebagai tetamu. Bagi saya, kedudukan Baginda sebagai Rasul perlu diambil kira.

f) Boleh bergaul kerana menghormati tetamu. Dalam Sahih Muslim dikesahkan tentang seseorang telah datang menemui Rasulullah (s). Baginda lantas bertanya para sahabat, siapa yang sanggup menerima lelaki tersebut sebagai tetamu. Seorang sahabat dari al-Ansar mengatakan “saya ya Rasulullah”. Setelah itu dia pun beredar balik ke rumah bertanyakan isterinya “kamu ada sesuatu ”. Yakni untuk dimakan. Jawab isterinya “tidak, kecuali untuk makanan anak-anak saya”. Jawab lelaki itu “lengah-lengahkan mereka dengan sesuatu, apabila tetamu kita datang padamkan lampu dan perlihatkan seolah-olah kita makan. Apabila dia mula makan kamu berdiri dan padamkanlah lampu”. Suami isteri tersebut duduk bersama tetamu mereka yang terus makan.. Apabila subuh, lelaki itu berjumpa Rasulullah (s), Baginda bersabda kepadanya “ Allah kagum terhadap apa yang kamu lakukan kepada tetamu kamu malam tadi”. Hadis ini menunjukkan isteri Ansari tersebut berada bersama suaminya melayan tetamu mereka makan.

g) Boleh bergaul dalam kenderaan awam kerana hajah/keperluan menggunakannya. Wanita dibenarkan keluar untuk menunaikan keperluan yang syar`ie seperti menziarahi keluarga, mendapat rawatan di hospital dan lainnya. Ini membuatkannya terpaksa menggunakan kenderaan awam. Mungkin berlaku pergaulan dalam kenderaan awam atau semasa menunggu untuk mendapat rawatan doktor atau semasa mengambil ubat di farmasi. Pergaulan wanita dan lelaki ajnabi dalam bentuk ini diharuskan atas dasar hajah dan keperluan syar`ie dan dengan syarat mematuhi hukum-hukum dan adab-adab Islam lain.

h) Boleh bergaul kerana tujuan berjihad fi sabilillah. Ini telah berlaku apabila sahabiyat turut serta dalam medan perang memberikan rawatan kepada mereka yang luka, menyediakan makanan dan menghantar pulang mereka yang syahid ke Madinah. Kegiatan ini menuntut wanita dan lelaki ajnabi bercampur , tetapi ia dibolehkan kerana menyempurnakan tuntutan syarak. Rabi`e Binti Mu`awiz berkata: “kami bersama Rasulullah (s) memberi minum dan merawat mereka yang luka dan menghantar pulang mereka yang terkorban ke Madinah”.

i) Boleh bergaul silang jantina ajnabi untuk tujuan mendapat nasihat, teguran dan bimbingan. (mendengar ceramah agama dalam konteks hari ini) Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: Pada (satu) hari raya Baginda keluar dan solat dua rakaat. Baginda tidak solat sebelum dan sesudahnya. Kemudian baginda menghala kepada kumpulan kaum wanita dan mengarahkan mereka supaya bersedekah. Mereka pun menyerahkan gelang dan rantai. Hadis ini jelas menunjukkan kaum wanita turut berada dalam majlis tersebut. 

4. Pergaulan silang jantina ajnabi masa kini.


Di antara pergaulan silang jantina ajnabi yang berlaku masa kini ialah pergaulan semasa ziarah
menziarahi keluarga, kawan dan sahabat handai. Pergaulan juga berlaku dalam majlis-majlis rasmi atau tak resmi; mesyuarat, kenduri kendara, sambutan hari tertentu dan lainnya. Dalam ziarah dan majlis seperti ini biasanya akan berlaku pergaulan antara wanita dan lelaki ajnabi dalam satu bilik, ruang, makan bersama dalam satu hidangan, atau mesyuarat di satu meja. Sudah pasti berlaku interaksi, perbualan dan sebagainya. 

Pergaulan seperti ini adalah diharuskan dengan syarat semua pihak yang hadir mestilah berpegang teguh dengan hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan pakaian, percakapan dan pandang memandang antara lelaki dan wanita. Mereka yang hadir mestilah menutup aurat dengan sempurna. Wanita tidak boleh menampakkan tubuhnya walau sedikit pun kecuali muka dan tapak tangan. Pakaian yang mereka pakai juga mestilah tidak nipis, tidak ketat sehingga menjelaskan susuk tubuh mereka. Tidak bertabarruj. Percakapan mereka juga mestilah berlaku seperti biasa, tidak dimanja-manja dan dilunak-lunakkan. Pandang memandang mestilah tidak ada unsur nafsu dan syahwat, berperaturan, tidak berlaku khalwat, tidak bercampur aduk melampau yang tiada batas. Jika hukum, peraturan, adab dan tata susila ini tidak dapat dipatuhi pergaulan itu adalah ditegah.

5. Bolehkah bergaul silang jantina ajnabi untuk menuntut ilmu?.


Persoalannya, bolehkah lelaki dan wanita ajnabi berada dalam satu majlis ilmu seperti yang berlaku sekarang di sekolah, IPT dan majlis ilmu lain.?. Ada dua pendapat mengenai persoalan ini. 

Pendapat pertama mengatakan pergaulan silang jantina ajnabi dan dalam satu majlis menuntut ilmu adalah ditegah. Ia tidak diharuskan. Hujah yang dikemukakan ialah hadis Rasulullah (s) yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri, katanya: 
قالت النساء للنبي (ص) : غلبنا عليك الرجال ، فاجعل لنا يوما من نفسك ، فوعدهن يوما لقيهن فيه
“kaum wanita berkata kepada Nabi (s): Kaum lelaki telah menewaskan kami ke atasmu, tentukanlah satu hari untuk kami dari dirimu. Baginda pun menjanjikan kepada mereka satu hari di mana Baginda bertemu dengan mereka”.

Menurut pendapat pertama, hadis ini menunjukkan wanita tidak boleh bersama dalam satu majlis ilmu dengan lelaki ajnabi. Majlis mereka mestilah berasingan. Kalau ia boleh, masakan kaum wanita meminta ditentukan satu majlis asing khusus untuk mereka. Dan kalau boleh sudah tentu Baginda tidak menentukan satu hari lain untuk wanita.

Pendapat kedua mengatakan wanita dan lelaki ajnabi boleh bercampur dalam satu majlis ilmu. Hujah yang mereka kemukakan ialah:

i. Fukaha’ telah mengharuskan pergaulan silang jantina ajnabi untuk tujuan hajat dan keperluan yang syar`ie seperti dijelaskan dalam perenggan no. 4 di atas. Jika pergaulan kerana hajah seperti menaiki kenderaan awam, melayan tetamu, ziarah menziarahi diharuskan maka bergaul antara silang jantina ajnabi untuk tujuan menuntut ilmu sepatutnya lebih diharuskan, kerana suasana menuntut ilmu lebih beradab, lebih warak dan lebih selamat daripada fitnah berbanding majlis-majlis di atas.

ii. Selain dari itu, hadis yang dijadikan hujah oleh pendapat pertama sebenarnya tidak boleh dijadikan hujah untuk kes ini, kerana kaum wanita meminta satu masa lain khusus untuk mereka bukan kerana mereka dilarang berada dalam satu majlis ilmu dengan lelaki ajnabi, tetapi kerana tabiat tanggungjawab mereka dan tabiat kewanitaan mereka membuatkan mereka tidak banyak peluang untuk bersama Rasulullah (s). Tidak sama dengan kaum lelaki yang kebanyakan masa mereka bersama Rasulullah (s) .

Kita memilih pendapat kedua kerana kema`qulan hujahnya. Namun pergaulan itu mestilah mematuhi hukum-hukum syarak, adab-adab Islam dan bersistem. Amat baik jika tempat wanita dalam majlis itu di pisahkan dari tempat lelaki. Bukan bergaul sampai ke peringkat campur aduk.

6. Bersalaman Silang Jantina Ajnabi.


Merujuk kepada penulisan fukaha dalam masalah ini kita temui tiga hukum berikut :

Pertama : haram bersalaman antara silang jantina ajnabi. Dengan syahwat atau tidak, aman fitnah atau tidak. Pendapat ini merujuk kepada mereka yang mengatakan semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali. Oleh itu ia haram dilihat. Maka haram sentuh tentulah lebih aula. Jika bersentuh adalah haram maka bersalaman juga tentulah haram kerana bersalaman tidak berlaku tanpa bersentuhan.

Kedua: Haram bersalaman antara silang jantina ajnabi sekiranya ia disertai syahwat dan keinginan ingin menikmati kelazatan hubungan kedua-dua pihak; lelaki dan perempuan. Ia juga haram jika suasana di sebalik bersalaman itu tidak aman fitnah. Pengharaman ini adfalah dengan tujuan menutup pintu bencana (sad al-zari`ah).

Hukum ini diperkuatkan oleh hukum lelaki menyentuh perempuan mahram. Ia diharuskan. Namun keharusan itu boleh bertukar menjadi haram jika ia disertai syahwat atau jika tidak aman fitnah. Terutama apabila sentuhan itu berlaku antara anak tiri, ibu tiri, saudara sesusu, yang mana perasaan lelaki terhadap mereka ini tidaklah sama dengan perasaannya terhadap ibu kandung, anak kandung, adik kandung dan emak saudara. Jika ini berlaku pada keluarga mahram kekal atau sementara maka dengan ajnabi adalah lebih aula.

Ketiga: Rukhsah bersalaman dengan perempuan yang tidak lagi merangsang seks, kanak-kanak kecil yang juga belum merangsang seks atau lelaki itu telah terlalu tua, kerana suasana ini aman fitnah. Diriwayatkan bahawa Abu Bakar ( r ) bersalaman dengan perempuan tua. Abdullah Bin Zubair telah mengupah seorang perempuan tua. Perempuan tua itu telah menjaram kepalanya.

Bagi saya yang penting dalam persoalan ini ialah penentuan maksud ‘tua’. Tua bukan dinilai dengan umur, tetapi ia dinilai berdasarkan rangsangan seks. Yakni, apakah masih ada rangsangan seks dalam diri sendiri atau ia masih merangsang seks orang lain.

Perbincangan mengenai masalah ini berkisar di sekitar tiga persoalan berikut:

i. Riwayat hadis yang menjelaskan ba`ah al-nisa’ berlaku dengan wanita berjabat tangan dengan Rasulullah s.a.w. dan riwayat yang menyatakan bai`ah itu berlaku dengan perkataan sahaja.
ii. Perbincangan mengenai tafsiran ayat إلا ما ظهر منها . Apakah anggota yang dikecualikan dalam persoalan aurat dan anggota yang boleh dilihat dan disentuh.
iii. Perbincangan mengenai tafsiran ke atas perkataan لمس dan لامس dalam ayat al-Quran. Apakah ia bermaksud sentuh sahaja atau sentuh dengan nafsu atau ia bermaksud jimak.

Peringatan penting.

Sebagai satu peringatan penting, perlu ditegaskan bahawa dalam sebarang pergaulan antara lelaki dan perempuan, terutama yang ajnabi, syarat-syarat yang telah dikemukakan fukaha’ mestilah dipatuhi. Begitu juga mengenai adab-adab pergaulan antara lelaki dan wanita dan pakaian syar`ie. Kebanyakan pergaulan silang jantina ajnabi sekarang tidak lulus syarak adalah kerana mereka yang bergaul tidak mematuhi hukum syarak, syarat dan adab pergaulan yang telah ditetapkan

(2) Pergaulan Silang Jantina Antara Keluarga Bukan Mahram.

7. Pengenalan.


Mahram adalah istilah yang diguna pakai ke atas seseorang yang haram nikah dengan seseorang. Sama ada pengharaman itu di sebabkan nasab keturunan, susuan atau persemendaan. Pengharaman ini ada yang bersifat kekal selama-lamanya dan ada yang bersifat sementara. 

8. Wanita yang haram dikahwini selama-lamanya:


Atas sebab nasab ialah:
(a) Ibu dan ke atas: opah, nenek dan………..
(b) Anak perempuan dan ke bawah: cucu, cicit perempuan dan…………
(c) Anak ayah dan ibu: adik-beradik perempuan seibu sebapa, sebapa dan seibu
(d) Anak perempuan adik/kakak/abang seibu sebapa, sebapa, dan seibu. (anak saudara)
(e) Emak saudara sebelah ayah, (adik dan kakak ayah) dan emak saudara ayah sebelah ayahnya (nenek saudara ) dan emak saudara ibu sebelah ayahnya . (nenek saudara)
(f) Emak saudara sebelah ibu (adik dan kakak ibu), dan emak saudara ibu sebelah ibunya (nenek saudara) dan emak saudara ayah sebelah ibunya (nenek saudara).

Nas Quran bersabit dengan pengharaman di atas ialah ayat 23 al-Nisa’.
حرمت عليكم أمهاتكم وبناتكم وعماتكم وخالاتكم وبنات الأخ وبنات الأخت وأمهاتكم اللاتي أرضعنكم وأخواتكم من الرضاعة وأمهات نسائكم وربائبكم اللاتي في حجوركم من نسائكم اللاتي دخلتم بهن فإن لم تكونوا دخلتم فلا جناح عليكم
وحلائل أبنائكم الذين من أصلابكم وأن تجمعوا بين الأختين إلا ما قد سلف .
Atas sebab persemendaan:
(a) Isteri bapa dan ke atas: ibu, ibu tiri, opah, nenek dan ke atas
(b) Isteri anak dan ke bawah: menantu, isteri cucu, isteri cicit dan ke bawah
(c) Ibu isteri dan ke atas: ibu mertua, nenek mertua dan ke atas, berlaku persetubuhan atau tidak dengan isteri
(d) Anak isteri (anak isteri/suami) haram sekiranya telah berlaku persetubuhan dengan ibunya/bapanya.

Nas syarak mengenai pengharaman golongan ini ialah ayat yang sama di atas.

Atas sebab susuan.
(a) Ibu susu: yang menyusukan anda tetapi bukan ibu kandung anda.
(b) Saudara sesusu: anda menyusu dari ibunya atau dia menyusu dari ibu anda atau anda dan dia menyusu kepada seorang perempuan yang bukan ibu kandung kamu masing-masing. 

Jika dia menyusu dari ibu anda, dia jadi haram nikah dengan anda dan semua saudara lelaki anda, 
tetapi anda halal nikah dengan adik/kakak perempuannya yang tidak menyusu dari ibu anda, kerana 
mereka bukan sesusu dengan anda. Anda hanya sesusu dengan dia. Dan dia sesusu dengan
saudara lelaki anda.

Jika anda menyusu dari ibunya, anda jadi haram kahwin dengannya dan semua saudara
perempuannya, tetapi dia halal kahwin dengan saudara lelaki anda kerana dia tidak
menyusu kepada ibu anda, jadi dia bukan sesusu dengan saudara lelaki anda, dia hanya
sesusu dengan anda dan anda sesusu dengan adik/kakak perempuannya.
(c) Anak perempuan saudara lelaki sesusu
(d) Anak perempuan saudara perempuan sesusu
(e) Ibu saudara susu: perempuan yang sesusu dengan ayah atau ibu anda.
(f) Anak susu perempuan: perempuan yang isteri anda susukannya.
(g) Ibu susu isteri: perempuan yang menyusukan isteri anda
(h) Anak susu isteri (perempuan): perempuan yang isteri anda susukan semasa dia bersuamikan orang lain.
( i) Isteri bapa susu: isteri bapa yang anda menyusu dari isterinya yang lain. Contoh: Yanti dan Sastri 
isteri Joko. Anda menyusu pada Yanti. Anda haram kahwin dengan Sastri kerana dia isteri bapa
susu anda.
( j) Isteri anak susu: isteri lelaki yang isteri anda susukan. 

Nas syarak yang mengharamkan golongan ini ialah ayat yang sama di atas.

9. Wanita yang haram nikah sementara:


(a) Menghimpunkan (kahwin) dua beradik dalam satu masa. Sama ada saudara nasab atau saudara sesusu.
(b) Menghimpunkan (kahwin) perempuan dengan:
- emak saudaranya sebelah ayahnya
- emak saudara sebelah ibunya
- anak perempuan saudara perempuannya (anak saudara)
- anak perempuan saudara lelakinya (anak saudara)
- anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan dari anak lelaki)
- anak perempuan kepada anak perempuan (cucu perempuan dari anak perempuan)
(c) Perempuan lain dari 4 isteri yang ada.
(d) Perempuan kafir.

Kesemua perempuan ini haram berkahwin dengan lelaki itu untuk sementara sahaja. Jika sebab pengharaman itu tiada lagi mereka boleh kahwin.

10. Keluarga bukan mahram (ajnabi).


Lawan kepada perkataan mahram ialah ajnabi. Ajnabi ialah seseorang yang halal berkahwin dengan seseorang, sekarang atau pada masa akan datang, setelah perkara yang mengharamkan perkahwinan mereka tidak wujud lagi.

Perempuan yang halal nikah sekarang dengan seorang lelaki ialah perempuan yang bukan haram nikah selama-lamanya dan bukan haram nikah sementara waktu. Perempuan yang halal nikah dengan lelaki pada masa akan datang ialah perempuan yang haram nikah dengannya untuk sementara waktu atas sebab halangan. Dia halal nikah selepas halangan itu tiada lagi. Mereka inilah yang disebut sebagai keluarga bukan mahram.

Dengan lebih terperinci keluarga bukan mahram ialah: adik ipar, kakak ipar, abang ipar, isteri abang ipar, suami kakak ipar, sepupu, dua pupu dan yang terjauh, adik beradik tiri (contoh: Azizah kahwin dengan Taludin. Azizah ada anak, Juminah. Taludin juga ada anak, Katiman. Juminah dan Katiman adalah adik-beradik tiri, kedua-duanya halal kahwin), isteri bapa saudara, anak/bapa/ibu/saudara angkat yang tidak disusukan, mereka yang kelihatan semacam saudara susu tetapi bukan, seperti dalam kes (b) haram kerana susuan dan lain-lain yang bukan haram selamanya dalam keluarga.

10. Hukum pergaulan silang jantina dalam keluarga bukan mahram.

Sudah dijelaskan bahawa status keluarga bukan mahram sebenarnya adalah ajnabi. Cuma ada di antara mereka yang haram kahwin sementara sahaja. Oleh itu hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram dalam keluarga adalah sama dengan hukum pergaulan lelaki dan perempuan yang ajnabi. Aurat yang wajib ditutup, anggota yang halal dan haram dilihat atau disentuh sama sahaja dengan aurat dan anggota yang halal dan haram dilihat atau disentuh silang jantina ajnabi. Tidak ada bezanya. Oleh itu adik/kakak/abang ipar, sepupu, dua pupu dan seterusnya, anak/bapa/ibu/saudara angkat, yang semacam saudara sesusu, adik beradik tiri dan lainnya hendaklah menutup aurat seperti aurat ajnabi/yah. Pandang dan sentuh anggota antara mereka juga mestilah sama dengan pandang dan sentuh anggota ajnabi/yah. Anggapan mereka sama dengan keluarga mahram adalah salah. 

Perbincangan berikut akan menjelaskan anggota yang haram didedah, dilihat dan disentuh antara lelaki dan perempuan, sama ada yang mahram atau ajnabi.

11. Anggota yang haram didedahkan.


Semua anggota yang dianggap aurat haram didedahkan. Perempuan haram mendedahkan auratnya kepada lelaki ajnabi dan mahram. Lelaki juga haram mendedahkan auratnya kepada perempuan ajnabiyah atau mahram. Pada umumnya aurat perempuan dengan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Aurat lelaki pula ialah anggota yang di antara pusat dan lutut. Cuma ada perbezaan aurat antara silang jantina mahram berbanding silang jantina ajnabi. Insya Allah akan dibincangkan. 

12. Aurat perempuan.


Fukaha’ berselisih pendapat mengenai aurat perempuan:
1. Pendapat pertama; jumhur: aurat perempuan ialah semua anggota kecuali muka dan dua tapak tangan. Wanita wajib menutup semua tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan dari pandangan lelaki ajnabi dan keluarga bukan mahram.
2. Pendapat kedua; aurat wanita ialah seluruh tubuh tanpa kecuali. Wanita wajib menutup seluruh tubuhnya, termasuk muka dan tapak tangan dari pandangan lelaki ajnabi dan keluarga bukan mahram.
Punca perselisihan pendapat ialah berbeza pentafsiran terhadap maksud perkataan ما ظهر ‘apa yang zahir’ dalam firman Allah: ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها . Jumhur berpendapat ia bermaksud muka dan tapak tangan. Oleh itu ia dikecualikan daripada wajib ditutup. Jadi ia bukan aurat. Ia boleh didedahkan kepada lelaki ajnabi. Inilah pendapat yang rajeh.

13. Syarat muka dan tapak tangan boleh didedahkan.


Muka dan dua tapak tangan boleh didedahkan dengan dua syarat:

Syarat pertama: Muka dan dua tapak tangan mestilah tidak dihias dengan perhiasan dan mekap yang melampau seperti yang dilakukan wanita hari ini, sehingga wajah yang didedahkan itu bukan lagi wajah yang asli. Ini kerana: 
a. keharusan mendedahkan muka dan dua tapak tangan hanyalah jika ia dalam batas keadaan biasa. Kalaupun memakai perhiasan atau mekap ia mestilah simpel, setakat memenuhi naluri wanita yang ingin berhias. Bukanlah suatu yang boleh dianggap biasa jika muka dan dua tapak tangan dihias dengan perhiasan dan mekap yang berlebihan.
b. Keharusan mendedahkan muka dan dua tapak tangan adalah atas dasar hajah dan keperluan. Tidak ada hajah dan keperluan pada perhiasan dan mekap yang berlebihan.
c. Berlebihan dalam berhias itu sendiri membawa kepada zan fitnah.

Syarat kedua: Pendedahan itu tidak membawa kepada fitnah dan merangsang syahwat. Rangsangan ini hanya berlaku dengan perhiasan dan mekap melampau pada muka dan dua tangan. Oleh itu haram mendedahkan muka dan dua tangan dalam keadaan ia dihias dan dimekup berlebihan.

14. Apakah wanita dilarang mendedahkan muka dalam keadaan tertentu.


Jawabnya, ya. Dia dilarang mendedahkan muka jika dibimbangkan akan membawa fitnah dan kerosakan atau dalam masyarakat yang telah rosak.

15. Wanita ditegah membuka muka kerana bimbangkan fitnah


Jumhur fukaha’ berpendapat wanita mesti menutup mukanya jika ia bimbangkan fitnah atau kerana wajahnya yang terlalu cantik.

16. Wanita dilarang mendedahkan muka kerana masyarakat yang telah rosak.


Rumusan perbincangan dalam persoalan ini ialah: Apabila wanita menjadi tempat sasaran pandangan orang lain dengan syahwat sama ada kerana kecantikannya atau kerana lain, beliau mestilah menutup muka dan dua tapak tangannya. Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab Malikiyah. Neraca pengukur dalam keadaan ini ialah: Apabila wanita itu dilihat dengan syahwat. Kaedah untuk meyakini keadaan masyarakat itu telah rosak hendaklah dirujuk kepada perkara-perkara berikut:
a. Qarinah (petanda) yang wujud dalam persekitaran masyarakat itu. 
b. Penilaian masyarakat yang normal terhadap apa yang dianggap bermaruah dan tidak bermaruah dalam masyarakat.
c. Sensitif atau tidaknya masyarakat terhadap kehormatan diri dan maruah.
d. Pegangan agama orang ramai
e. Akhlak mana yang mendominasi masyarakat, baik atau buruk.
Perkara-perkara inilah yang dapat menentukan masyarakat itu telah rosak dan dengan itu wanita dilarang mendedahkan mukanya. Apa pun, penilaian terakhir adalah di tangan para wali (yang teguh pegangan agamanya) kepada wanita. Merekalah yang tahu yang buruk dan yang baik untuk wanita jagaan mereka.

Kaedah yang sama boleh diguna pakai dalam pergaulan keluarga bukan mahram. 

17. Adakah dua tumit wanita aurat.


Abu Hanifah berpendapat tumit wanita bukan aurat, kerana menurut beliau tumit termasuk dalam pengertian إلا ما ظهر منها Jadi, ia dikecualikan. Oleh itu ia bukan aurat. Ia boleh didedahkan kepada ajnabi dan keluarga bukan mahram. Pendapat rajeh dalam mazhab Malikiyah bahawa tumit bukan aurat. Syafiyah pula berpendapat bahawa tumit wanita adalah aurat, kerana aurat wanita di luar solat sama dengan aurat mereka di dalam solat. Oleh itu ia mesti ditutup. Mazhab Hambali berpendapat tumit wanita aurat kerana hadis Ummu Salah. Dia bertanya kepada Rasulullah: هل تصلي المرأة في درع وجمار ليس عليها إزار ؟ قال: نعم إذا كانت سابغا يغطي ظهور قدميه 
Pendapat yang rajeh dalam persoalan ini ialah: Tumit wanita adalah aurat, namun ia dimaafkan terdedah bagi mereka yang tabiat kerjanya mendedahkan tumitnya, seperti petani di sawah dan lainnya atau orang miskin yang tidak mampu membeli sarung kaki untuk menutup tumitnya.

Pergaulan antara keluarga bukan mahram juga mesti terikat dengan hukum ini.

18. Melihat aurat wanita bagi lelaki ajnabi termasuk keluarga bukan mahram.


Mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi sepakat mengatakan haram lelaki ajnabi, begitulah juga keluarga bukan mahram, melihat aurat perempuan dengan syahwat atau tidak. Aurat wanita bagi mereka ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu lelaki ajnabi boleh melihat muka dan dua tapak tangan wanita, tetapi dengan syarat aman fitnah, bukan dengan tujuan untuk berlazat dan bukan dengan syahwat. Pendapat Mazhab Hambali juga sama dengan pendapat Syafie, Maliki dan Hanafi. Namun ada di antara pengikut Hambali yang berpendapat makruh melihat muka dan dua tapak tangan wanita walaupun tanpa syahwat.

Pendapat yang rajeh dalam masalah ini ialah: Haram melihat anggota aurat perempuan ajnabiyah (selain dari muka dan dua tapak tangan dan termasuk tumit mengikut pendapat sebilangan besar fukaha) sama ada dengan syahwat atau tidak, kerana anggota aurat haram dilihat kecuali dalam keadaan darurat. Haram melihat anggota bukan aurat (muka dan dua tapak tangan) jika ada fitnah atau ada syahwat. Boleh jika tidak ada fitnah dan tidak ada syahwat. Kerana hadis: العينان تزنيان وزناهما النظر .

18. Lelaki ajnabi boleh lihat aurat wanita dalam keadaan berikut:


a. Melihat aurat wanita ajnabi kerana jadi saksi dan kadi/hakim
b. Melihat muka dan dua tapak tangan kerana urusan muamalat
c. Melihat aurat wanita ajnabi untuk tujuan rawatan perubatan: boleh melihat tempat perlu dalam proses rawatan di seluruh badan, malah boleh melihat faraj dan ke dalam faraj dan boleh menyentuhnya.
d. Melihat kerana tujuan berkahwin (telah dibincangkan dalam bab nikah)

19. Lelaki ajnabi memandang perempuan tua.


Maksud perempuan tua ialah wanita yang pada adat kebiasaannya tiada lagi rangsang nafsu seks imbal balik.

Syafi`yah berpendapat hukum melihat perempuan ajnabi tua sama dengan melihat perempuan ajnabi yang masih muda. Oleh itu haram melihat seluruh badan ajnabiyah yang sudah tua kecuali muka dan tapak tangan. Hanafiyah berpendapat: Boleh lihat pada ajnabiyah tua anggota yang boleh dilihat pada wanita mahram menurut mazhab mereka iaitu; muka, kepala, rambut, telinga, tengkuk, dada, payu dara, dua tangan, dua betis dan dua tumit. Malikiyah mengharuskan lihat muka dan tapak tangan sahaja, sama seperti Syafie.. Hanabilah mengharuskan lihat anggota yang pada kebiasaannya terdedah iaitu kepala, tengkuk, dua tapak tangan dan dua tumit. Haram melihat anggota yang pada kebiasaannya ditutup, seperti dada, payu dara dan yang seumpamanya. Pendapat Hanbaliyah lebih tenang untuk diterima.

20. Lelaki ajnabi melihat kanak-kanak perempuan.


Maksud kanak-kanak dalam perbincangan ini ialah kanak-kanak perempuan yang masih belum merangsang syahwat seks. Hanafiyah, Syafiyah dan Hanabilah sepakat mengatakan harus melihat anggota, malah faraj kanak-kanak perempuan yang masih belum merangsang syahwat seks. Perbezaan antara wanita tua dan kanak-kanak perempuan dalam hal ini ialah pengalaman. Perempuan tua telah mengalami kewujudan nafsu dan syahwat seks, malah mungkin telah mengalami hubungan seks itu sendiri, sedangkan kanak-kanak tidak. Oleh itu, dalam hal ini wanita tua dikembalikan kepada kaedah استصحاب الأصل . Yakni, mengembalikan hukum kes kepada hukum yang asal. 

21. Melihat gambar wanita ajnabi.


Hanafiyah berpendapat haram melihat faraj dan aurat wanita di sebalik kaca lut sinar dan di dalam air jernih. Harus melihat bayang wanita dalam cermin. Perbezaan antara kedua-dua keadaan ini ialah; keadaan pertama yang dilihat ialah diri wanita itu sendiri, sedangkan dalam keadaan kedua yang dilihat bukan diri, tetapi bayang-bayang yang menyerupai diri wanita itu. Mazhab Jaafariyah berpendapat haram melihat aurat wanita di sebalik kaca lut sinar atau dalam air jernih jika disertai syahwat, harus jika tampa syahwat dan harus melihat bayang wanita pada cermin atau yang seumpamanya. Mazhab Zaidiyah pula berpendapat tidak harus melihat aurat wanita di sebalik kaca yang telus, dalam air jernih, bayang dalam cermin atau lainnya.

Bagi saya; hikmat di sebalik tegahan melihat anggota yang dikira aurat adalah untuk mengelakkan fitnah. Keadaan fitnah tetap wujud sama ada yang dilihat adalah diri wanita itu di sebalik kaca telus, di dalam air jernih atau bayangnya di dalam cermin. Kerana tidak ada perbezaan sedikit pun antara tiga keadaan itu, baik dari sudut warna kulit, susuk tubuh dan saiznya. Wallahu a`alam, mungkin daya rangsangan seksnya juga tidak berbeza. Oleh itu bagi saya melihat aurat wanita ajnabi dalam ketiga-tiga keadaan ini adalah haram, dengan syahwat atau tidak. Namun mungkin ada perbezaan jika melihat gambar foto. Mungkin ada perbezaan daripada sudut saiz dan warna kulit walau pun dengan foto warna dan bergerak atau tidak. Atau mungkin juga berbeza daripada sudut daya rangsangan seksnya. Tetapi ada beza pula antara foto dan filem.

Hukum dan contoh di atas boleh diguna pakai pada gambar-gambar lukisan, foto, dan gambar dalam filem. Cuma harus diambil perhatian bahawa gambar filem itu sendiri ada berbagai kategori, x dan bukan x. Yang x pula ada yang single x, ia hanya adegan berkucupan dan pendedahan sebahagian anggota aurat, tiada adegan persetubuhan. Yang duble x pula pertontonkan adegan seks tanpa memperlihatkan alat kelamin. Dan yang triple x pula memperagakan adegan persetubuhan dan memperlihatkan alat kelamin. Bagi saya, dalam kes halal dan haram, antara kaedah yang mesti dipegang ialah: ما يؤدي إلي الحرام حرام dan kaedah الحاجة تنزل منزلة الضرورة . Oleh itu, berdasarkan pendapat berbagai fukaha dan mazhab, perincian masalah ini adalah seperti berikut:

Gambar.
1. Boleh lihat gambar lelaki/wanita ajnabi/ajnabiyah yang menutup aurat.
2. Boleh lihat gambar suami isteri walau tanpa tutup aurat.
3. Lelaki ajnabi haram lihat gambar wanita yang hanya menutup anggota antara pusat dan lutut, dengan syahwat atau tidak. Ada pendapat mengatakan boleh jika tanpa syahwat. Haram jika ada syahwat.
4. Wanita harus melihat gambar lelaki menutup anggota antara pusat dan lutut tanpa syahwat. Haram jika ada syahwat.
5. Haram lelaki dan wanita lihat gambar lelaki dan wanita berbogel, dengan syahwat atau tidak. Ada pendapat mengatakan boleh jika tanpa syahwat.

Gambar filem.
1. Boleh lihat gambar filem lelaki/wanita ajnabi/ajnabiyah yang menutup aurat
2. Boleh lihat filem suami isteri tanpa tutup aurat
3. Haram lelaki ajnabi melihat filem wanita yang hanya menutup anggota antara pusat dan lutut dengan syahwat atau tidak. Ada pendapat mengatakan harus jika tanpa syahwat.
4. Harus wanita melihat filem lelaki ajnabi yang hanya menutup anggota antara pusat dan lutut tanpa syahwat. Haram dengan syahwat.
5. Haram lelaki dan wanita ajnabi/ajnabiyah melihat lelaki/wanita bogel dengan nafsu atau tidak. Ada pendapat mengatakan boleh tanpa syahwat.

Adegan seks.
1. Single x, harus tanpa syahwat, haram dengan syahwat, harus jika tiada syahwat jika adegan itu dalam filem. Haram jika adegan itu di sebalik kaca lut sinar, dalam air jernih atau bayang dalam cermin. Dengan syahwat atau tidak. 
2. Duble x, haram dengan syahwat atau tidak, dalam filem atau lainnya.
3. Triple x, haram dengan syahwat atau tidak, dalam filem atau lainnya.
4. Melihat semua kelas ini kerana hajat atau darurat syar`ie dibolehkan sekadar keperluan.
5. Harus suami isteri melihat mereka melakukan adegan seks, dalam filem atau lainnya.

22. Wanita haram melihat aurat lelaki ajnabi.


Mazhab Hanafi berpendapat wanita haram melihat aurat lelaki ajnabi, iaitu anggota di antara pusat da lutut. Wanita boleh melihat seluruh anggota badan yang bukan aurat dengan syarat tiada syahwat. Mazhab Maliki berpendapat wanita harus melihat pada lelaki ajnabi anggota yang harus dilihat oleh lelaki pada perempuan mahram, iaitu; muka, kepala, dua tangan dan dua kaki dengan syarat tanpa syahwat. Haram melihat anggota lain dengan syahwat atau tidak. Pendapat yang asah (أصح) dalam Mazhab Syafie wanita boleh melihat seluruh badan lelaki ajnabi kecuali anggota yang di antara pusat dan lutut dengan syarat aman fitnah dan tanpa syahwat. Pendapat yang rajeh ialah wanita boleh melihat seluruh badan lelaki ajnabi kecuali anggota yang di antara pusat dan lutut jika aman fitnah dan tanpa syahwat.

23. Wanita boleh melihat aurat lelaki.


Seperti lelaki, wanita boleh melihat aurat lelaki ajnabi dalam keadaan-keadaan tertentu kerana hajat dan darurat syar`ie. Oleh itu wanita boleh melihat aurat lelaki ajnabi, hatta zakar untuk tujuan rawatan perubatan dan hajat lain. Wanita juga boleh melihat lelaki yang meminangnya. Batas yang boleh dilihat untuk tujuan kahwin sila rujuk dalam fasal pinang meminang dalam bab munakahat.

24. Sentuh antara silang jantina ajnabi tanpa alas.


Mazhab Hanafi, Maliki, Hambali, Syafie sepakat bahawa lelaki ajnabi termasuk keluarga bukan mahram, haram menyentuh seluruh anggota wanita termasuk muka dan dua tapak tangan, walau pun muka dan tapak tangan bukan aurat dan harus dilihat dalam muamalat, kerana tiada keperluan menyentuh muka dan tangan wanita dalam muamalat. Selain dari sentuhan itu sendiri akan membangkitkan syahwat. Dengan syarat keduanya masih muda, bukan orang tua. Muda ialah orang yang masih ada nafsu seks, bukan umur. 

Dalam konteks wanita menyentuh lelaki ajnabi, hukumnya sama juga dengan hukum lelaki menyentuh wanita ajnabiyah. Jadi, wanita haram menyentuh seluruh tubuh lelaki ajnabi, yang aurat dan bukan aurat, dengan syahwat atau tidak.

Dari hukum ini boleh dibuat kesimpulan hukum kes berjabat salam antara silang jantina ajnabi.

25. Sentuh antara lelaki dan wanita kerana hajat.


Lelaki boleh menyentuh anggota wanita, hatta faraj dan dalam faraj atas alasan hajat, seperti rawatan perubatan dan lainnya. Begitu juga sebaliknya wanita terhadap lelaki ajnabi. Inilah pendapat jumhur.

26. Pandang dan sentuh antara sesama lelaki.


Harus lelaki melihat dan menyentuh anggota yang bukan aurat lelaki lain. Haram melihat dan menyentuh tanpa alas anggota yang dikira aurat. Boleh melihat dan menyentuh anggota aurat lelaki kerana hajat dan darurat, seperti rawatan perubatan dan lainnya, termasuklah zakar.

27. Melihat lelaki cantik.


Maksud lelaki cantik ialah lelaki yang memiliki kecantikan yang mirip kepada perawakan dan kecantikan wanita. Sebahagian Syafiyah berpendapat haram melihat lelaki seperti ini dengan syahwat dan harus tanpa syahwat. Sebahagian lain pula berpendapat haram, dengan syahwat atau tidak. Hanafiyah berpendapat haram melihatnya dengan syahwat dan harus tanpa syahwat.

28. Menyentuh lelaki cantik.


Tidak dapat dikesan pendapat fiqaha’ yang jelas dalam persoalan ini. Namun dengan mengiaskan kes ini ke atas pendapat mereka mengenai kes memandang lelaki cantik, dapat dibuat kesimpulan bahawa menyentuh lelaki yang begini sifatnya adalah juga haram jika ada syahwat. Kerana sentuhan itu lebih merangsang nafsu berbanding pandang.

29. Pandang dan sentuh antara sesama wanita Muslimah.


Hanafiyah, Malikiyah dan Syafieyah berpendapat Muslimah boleh melihat anggota Muslimah lain seperti lelaki boleh melihat anggota lelaki lain. Yakni boleh melihat seluruh badan kecuali anggota di antara pusat dan lutut. Muslimah haram menyentuh aurat Muslimah lain. Iaitu anggota di antara pusat dan lutut.

Tentang kes Muslimah menyentuh anggota bukan aurat sesama Muslimah tidak dapat dikesan pendapat fukaha yang jelas dalam kes ini. Namun ia boleh disimpulkan dari ungkapan mereka ini : “ Pandang dan sentuh pada anggota bukan aurat adalah sama”. Oleh itu Muslimah boleh menyentuh anggota yang bukan aurat sesama Muslimah. Dan telah jelas bahawa anggota yang bukan aurat sesama Muslimah ialah seluruh tubuh kecuali anggota di antara pusat dan lutut. 

30. Pandang antara Muslimah dan kafirah.


Hukum kes ini akan didasarkan kepada siapa yang melihat siapa. Jika yang melihat ialah Muslimah, dia boleh melihat seluruh anggota kafirah kecuali anggota di antara pusat dan lutut. Jika yang melihat ialah kafirah, dia boleh melihat pada Muslimah anggota yang boleh dilihat oleh lelaki ajnabi pada wanita, yakni, muka dan dua tapak tangan. Ada pendapat bahawa pandang kafirah kepada Muslimah sama hukumnya dengan pandang Muslimah kepada Muslimah, yakni, seluruh anggota kecuali anggota antara pusat dan lutut.

Bagi saya, anggota Muslimah yang boleh dilihat oleh kafirah ialah anggota yang boleh dilihat oleh lelaki daripada wanita mahramnya. iaitu; anggota yang terdedah sewaktu wanita menunaikan kerja-kerja rumah, yakni: rambut, kepala, muka, tengkuk, dua tangan hingga paras siku dan kaki hingga paras lutut. Saya memilih batas ini kerana:

1. Inilah batas yang dapat memelihara sum`ah Muslimah pada pandangan kafirah dan jika dia menceritakannya kepada lelaki kafir pun tidaklah membawa jejas melampau ke atas marwah Muslimah dan juga tiada fitnah, kerana sifatnya hanya digambarkan dengan perkataan, bukan dilihat.
2. Untuk menolak masyaqqah (kesukaran) bagi Muslimah untuk menutup semua tubuh kecuali muka dan tapak tangan dalam semua interaksinya dengan kafirah , terutama dalam masyarakat multi agama di Malaysia di mana wanita Muslimah dan kafirah kadangkala tinggal serumah atau sebilik, di asrama sekolah, IPT, asrama pekerja dan lainnya. 
3. Pendapat ini mengambil jalan tengah antara yang hanya mengharuskan muka dan tapak tangan dan yang mengharuskan semua anggota kecuali anggota yang di antara pusat dan lutut. Yang pertama membawa kesukaran kepada Muslimah. Yang kedua menjatuhkan sum`ahnya.

31. Pandang dan lihat antara wanita kerana hajat dan darurat.


Wanita boleh melihat dan menyentuh anggota aurat perempuan lain, hatta faraj dan dalam faraj untuk tujuan hajat dan darurat seperti rawatan perubatan dan lainnya.


32.Telanjang.


Perbuatan bertelanjang bogel ditegah. Sebuah hadis menjelaskan seorang sahabat sedang memikul seketul batu, kemudian kainnya tertanggal, beliau terus memikul, setelah bebannya diletakkan beliau datang semula mengambil pakaiannya. Baginda telah memperbetulkan perbuatannya itu.

Berbogel dalam khulwat bersendirian juga ditegah. Sabda Rasulullah: فالله أحق أن يستحى منه من الناس . Boleh mandi bogel jika dalam bilik bersendirian, tetapi makruh. Boleh mandi bogel suami isteri.

33. Telanjang dalam selimut.


Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: لا ينظر الرجل إلي عورة الرجل ولا تنظر تامرأة إلي عورة المرأة ، ولا يفضي الرجل إلي الرجل في الثوب الواحد ولا تفضي المرأة إلي المرأة في الثوب الواحد . Fukaha mentafsirkan hadis ini dengan menyatakan bahawa lelaki ditegah bertelanjang dalam selimut dengan lelaki lain. Al-Taibiy mengatakan: Dua lelaki tidak harus berbogel dalam satu selimut, begitu juga perempuan. Mereka yang melakukannya boleh dihukum taazir. Al-Nawawi berpendapat tegahan itu adalah tegahan pengharaman, sekiranya tiada tidak beralas. Menurutnya, hadis ini juga menunjukkan haram menyentuh anggota aurat dengan mana-mana anggota tubuh. Yakni tidak mesti sentuh itu dengan tangan sahaja. Hanabilah berpendapat makruh dua lelaki, dua perempuan atau dua remaja berada dalam satu selimut atau lihat dalam keadaan berbogel.

34. Bercakap antara lelaki dan wanita.


Wanita boleh bercakap dengan lelaki kerana hajat seperti dalam aktiviti muamalat, minta fatwa hukum syarak atau dia sendiri perlu menjelaskan sesuatu atau lainnya yang menuntut dia bercakap dengan 
lelaki. Banyak hadis-hadis bersabit kes ini. Antaranya hadis riwayat Ummu `Atiyyah, dia berkata
بايعنا رسول الله (ص) فقراء علينا أن لا نشرك بالله شئيا ………ونهانا عن النياحة فقبضت امرأة منا يدها وقالت:فلانة أسعدتني وأنا أريد
أن أجزيها فذهبت ثم رجعت 
Hadis ini menunjukkan bahawa percakapan wanita ajnabi boleh didengar oleh lelaki dan suaranya juga bukan aurat.

35. Suara perempuan bukan aurat. 


Perenggan di atas menjelaskan bahawa suara wanita itu bukan aurat semata-mata kerana ia suara wanita. Tetapi ia menjadi aurat kerana sebab lain yang mendatang. Lelaki ajnabi harus mendengar suara wanita. Wanita juga tidak wajib menyembunyikan suaranya daripada didengar lelaki ajnabi. Lelaki haram mendengar suara wanita jika ada kemungkinan dia terfitnah atau tergoda. Pandangan ini telah dinyatakan dengan jelas oleh fukaha Syafie, Hambali, Maliki, Hanafi dan Ja`afari.

36. Wanita mengangkat suara.


Suara wanita yang tinggi adalah aurat. Kerana itulah wanita ditegah melaungkan azan, kerana azan bertujuan memberi tahu dan pada kebiasaannya memberi tahu (pada masa itu) perlukan laungan yang kuat. Hukum ini amat jelas. Cuma yang perlu dipastikan ialah takat yang diambil kira bahawa wanita itu telah mengangkat suara. Bagi saya ia banyak bergantung kepada `uruf, tujuan, dan suasana. Mungkin juga khidmat pakar bunyi boleh dimanfaatkan untuk menentukan frekuensi (hertz) tinggi rendah suara.

37. Tegahan menikmati suara wanita.


Suara wanita memang bukan aurat. Tetapi haram lelaki ajnabi mendengar nya dengan tujuan untuk menikmatinya, kerana suara mampu membangkitkan syahwat. Ini pendapat Hanabilah, Syafiyah dan Malikiyah. Ada pendapat mengatakan boleh jika aman fitnah dan tanpa syahwat.

38. Percakapan wanita yang ditegah dan tidak ditegah.

Memahami persoalan ini bergantung kepada pemahaman ke atas kandungan firman Allah: يا نساء النبي لستن كأحد من النساء إن اتقيتن فلا تخضعن بالقول فيطمع الذي في قلبه مرض وقلن قولا معروفا Yang ditegah daripada wanita ialah bercakap dengan gaya manja. Yang wajib bagi mereka bercakap yang makruf. Para ulama mentafsirkan ayat ini dengan berbagai bentuk ibarat (cara penyampaian), namun maksudnya adalah sama. Kesimpulan dari pentafsiran itu ialah:

Yang wajib bagi wanita Muslimah dalam percakapannya dengan lelaki ajnabi ialah beriltizam dengan tuntutan ayat ini dengan tidak memanja-manjakan pertuturan, tidak bercakap dengan nada dan gaya yang boleh merangsang mereka yang hatinya berpenyakit. Oleh itu percakapan mereka mestilah tidak membangkitkan sesuatu perasaan dalam hati lelaki, dek kerana percakapan itu dilembut-lembutkan, dimanja-manjakan atau kerana getaran suara yang dituturkan. Dalam percakapannya dengan lelaki ajnabi wanita Muslimah mestilah menjauhi bentuk-bentuk yang mungkin merangsang syahwat dan menggerakkan naluri seks. Selain dari itu percakapannya juga mestilah mengenai perkara yang diharuskan syarak, bukan yang ditegah. Kerana tajuk percakapan itu sendiri boleh merangsang mereka yang berpenyakit hati, sama juga dengan cara bercakap. Oleh itu percakapan wanita dengan lelaki yang asing dengannya mestilah tidak dalam bentuk perkataan yang kotor-kotor, sindir-menyindir, tidak berfaedah, gurau-senda dan jenaka. Semua ini supaya ia tidak menjadi pintu masuk kepada menggerakkan naluri jantina dan merangsang syahwat.

39. Bersalaman antara lelaki dan wanita.


Merujuk kepada penulisan fukaha dalam masalah ini kita temui tiga hukum berikut:

Pertama: Haram bersalaman antara perempuan dan lelaki ajnabi. Dengan syahwat atau tidak, aman fitnah atau tidak. Pendapat ini merujuk kepada mereka yang mengatakan semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali. Oleh itu ia haram dilihat. Maka haram sentuh tentulah lebih aula. Jika bersentuhan adalah haram maka bersalaman juga tentu haram kerana salam tidak berlaku tanpa sentuh.

Kedua: Haram bersalaman antara perempuan dan lelaki ajnabi sekiranya ia disertai syahwat dan keinginan menikmati kelazatan hubungan kedua-dua pihak; lelaki dan perempuan. Ia juga haram sekiranya suasana di sebalik bersalaman itu tidak aman fitnah. Pengharaman ini adalah dengan tujuan menutup pintu bencana (sad al-zari`ah).

Hukum ini diperkuatkan lagi oleh hukum lelaki menyentuh perempuan mahram. Ia diharuskan. Namun keharusan ini berubah menjadi haram jika ia disertai perasaan syahwat atau tidak aman fitnah. Terutama apabila sentuhan itu berlaku dengan anak tiri, ibu tiri, saudara susu, yang mana perasaan lelaki terhadap mereka ini tidaklah sama dengan perasaannya terhadap ibu kandung, anak kandung, adik kandung dan emak saudara.

Ketiga: Rukhsah bersalaman dengan perempuan yang tidak lagi merangsang seks, kanak-kanak kecil yang juga belum merangsang seks atau lelaki itu telah terlalu tua, kerana suasana seperti ini aman fitnah. Diriwayatkan bahawa Abu Bakar ( r ) bersalaman dengan perempuan tua. Abdullah Bin Zubir telah mengupah seorang perempuan tua. Perempuan tua itu menjaram kepala Abdullah. 

Yang penting dalam persoalan ini ialah penentuan maksud tua. Tua bukan dinilai dengan umur, tetapi ia dinilai berdasarkan rangsangan seks. Yakni, apakah masih ada rangsangan seks dalam diri sendiri atau diri kita masih merangsang seks orang lain.

Perbincangan mengenai hukum masalah ini berkisar di sekitar tiga persoalan berikut:

a. Riwayat hadis yang menjelaskan bai`ah al-nisa’ berlaku dengan wanita berjabat tangan dengan Rasusullah dan riwayat yang menyatakan ba`iah itu berlaku dengan perkataan sahaja. 
b. Perbincangan pengertian tafsiran ayat إلا ما ظهر منها . Apakah anggota yang dikecualikan dalam persoalan aurat dan anggota yang boleh dilihat dan disentuh.
c. Perbincangan mengenai tafsiran ke atas perkataan لمس dan لا مس dalam ayat-ayat al-Quran. Apakan ia bermaksud sentuh sahaja, sentuh dengan nafsu atau ia bermaksud jimak. 

Dari perbincangan panjang fiqaha dalam masalah ini dengan tidak ragu-ragu kita membuat kesimpulan berikut:

Pertama: Berjabat tangan antara wanita dan lelaki ajnabi adalah harus sekiranya tidak dengan syahwat dan aman fitnah. Sekiranya tidak aman fitnah di salah satu pihak atau ada unsur syahwat unsur ingin menikmati sentuhan silang jantina antara maka berjabat tangan adalah haram. Tidak syak lagi.

Malah jika kedua-dua syarat ini tidak wujud antara lelaki dan mahramnya maka berjabat tangan dengan perempuan mahram pun adalah haram.

Malah jika kedua-dua syarat ini tidak wujud, berjabat tangan dengan lelaki ‘cantik’ juga adalah haram. Mungkin persekitaran dan budaya di sesetengah kaum, lelaki ‘cantik’ lebih membawa fitnah, seperti kisah kaum Nabi Lut.

Kedua: Bersalaman antara silang jantina ajnabi harus dibatasi kepada hajat. Ia sepatutnya dibatasi kepada keluarga terdekat atau keluarga persemendaan. Ia tidak perlu dan tiada hajat untuk diperluaskan lebih dari itu. Pembatasan ini dibuat dengan tujuan ‘sad al-zariah’ (menutup ruang bencana), mengelakkan syubhah dan sebagai tindakan berawas, di samping mengikut perbuatan Rasulullah yang tidak bersalaman dengan perempuan. Amat afdal dan lebih baik bagi Muslim dan Muslimah yang kuat pegangan agamanya supaya tidak memulakan menghulur tangan untuk bersalaman silang jantina. Tetapi jika orang yang menghulurkan tangan, sambutlah. Mungkin di situ ada hajat atau adab untuk memelihara air muka orang, terutama dalam majlis-majlis resmi, ada liputan media yang bukan di bawah kawalan kita.

Kesimpulan ini dikemukakan dengan tujuan supaya ia boleh dilakukan oleh mereka yang memerlukannya, semoga mereka tidak merasakan telah mengabaikan tuntutan agamanya. Dan supaya perbuatannya itu tidak dipandang salah dan jelik oleh orang yang melihatnya. Masalah ini adalah masalah ijtihad. 

40. Ziarahi silang jantina ajnabi yang sakit.


Banyak hadis-hadis mengenai galakan menziarahi orang sakit secara umum. Tidak membezakan lelaki dan perempuan. Antara lain ialah:
1. حق المسلم علي المسلم ست ، قيل : وما هن يا رسول الله ، قال: إذا لقيته فسلم عليه وإذا دعاك فأجبه وإذا استنصحك فانصح له وإذا عطش فشمته وإذا مرض فعده وإذا مات فاتبعه . 
2. فكوا العاني (أي الأسير) وأجيبوا الداعي واطعموا الجائع وعودوا المريض . 
3. عودوا المريض واتبعوا الجنائز تذكركم الآخرة . 
4. إن المسلم إذا عاد أخاه المسلم لم يزل في خرفة الجنة حتي يرجع . قيل : يا رسول الله و ما خرفة الجنة ؟ قال : جناها . أى ما يخترف ويجتنى من ثمارها . 
5. من عاد مريضا ناداه مناد من السماء : طبت وطاب ممشاك وتبوأت من الجنة منزلا . 
6. إن الله عز وجل يقول يوم القيامة : يا ابن آدم مرضت فلم تعدنى ، قال: يا رب كيف أعودك وأنت رب العالمين ؟ قال: أما علمتَ أن عبدى فلانا مرض فلم تعده ، أما علمتَ أنك لو عدته لوجدتنى عنده . 

Ada hadis-hadis yang khusus menjelaskan kes-kes wanita menziarahi lelaki ajnabi. Antaranya:
1. Dalam bab ‘wanita menziarahi lelaki’ Imam Bukhari meriwayatkan hadis ini: وعادت أم الدرداء رجلا من أهل المسجد من الأنصار . 
2. Aisyah berkata: لما قدم رسول الله المدينة وعك أبو بكر وبلال رضي الله عنهما . قالت فدخلت عليهما فقلت : يا أبت كيف تجدك ويا بلال كيف تجدك الحديث . 
3. Ummu Mubassyir Binti al-Barra’ Bim Ma`rur al-Ansariyah masuk menziarahi Kaab Bim Malik al-Ansari di saat beliau menghadapi mautnya dan berkata: “ Wahai bapa Abdulrahman, sampaikan salam kepada anak saya”. Yakni Mubassyir.

Ada juga hadis-hadis khusus yang menjelaskan lelaki ajnabi menziarahi wanita. Antaranya:
1. Aisyah berkata: دخل رسول الله علي ضباعة بنت الزبير فقال لها : لعلك أردت الحج . قالت : وااله لا أجدنى إلا وجعة . فقال : حجى واشترطى الحديث 
2. Muslim meriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. masuk menziarahi Ummu al-Saib atau Ummu al-Musaiyib dan berkata kepadanya: ما لك يا أم السائب تزفزفين أي ترتعدين ؟ . قالت : الحمى لا بارك الله فيها . فقال : لا تسبى الحمى فإنها تذهب خطايا بنى آدم كما يذهب الكير خبث الحديد . 
4. Bukhari meriwayatkan Ibn Abbas minta izin untuk menziarahi Aisyah di saat hampir kematiannya. Aisyah pun mengizinkannya. Abbas berkata kepada Aisyah: 
كيف تجدينك ؟ قالت: بخير أن اتقيت الله تعالي . قال: فأنت بخير إن شاء الله ، زوجة رسول الله (ص) ولم ينكح بكرا غيرك ونزل عذرك من السماء .
Kesemua nas di atas menunjukkan tiada halangan lelaki ajnabi menziarahi wanita sakit, begitu juga sebaliknya, selagi dalam ziarah itu semua perkara berkaitan hukum syarak dan adab-adab Islam dapat dipelihara dengan sempurna. Jika yang diziarahi adalah rakan sekerja atau sepersukuan adalah baik jika ziarah itu dilakukan secara berkumpulan, atau bersama suami/isteri.

Tidak ada makna kita tidak menziarahi silang jantina yang sakit kerana bimbang ia tidak syar`ie sedangkan kita mengharuskan bergaul di tempat kerja atau lainnya semasa dia sihat. Tidakkah suasana menziarahi pesakit lebih aman fitnah berbanding pergaulan semasa sihat. Malah bukankah pesakit lebih utama mendapat layanan dan belas kasihan orang yang sihat.

41. Tabarruj.


Termasuk dalam isu pergaulan silang jantina ialah persoalan tabarruj. Tabarruj bererti wanita menunjuk dan memperagakan perhiasan dan kecantikannya untuk menarik perhatian kaum lelaki dan merangsang keinginan mereka. Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 33: ولا تبرجن تبرج الجاهلية الأولى “jangan kamu bertabarruj seperti tabarruj jahiliah terdahulu”.

Tabarruj di zaman jahiliah ialah dengan wanita membuka niqabah penutup mukanya hingga mendedahkan muka dan kecantikannya. Jika dibuat perbandingan dengan apa yang berlaku sekarang, tabarruj zaman kini tidak layak lagi disebut sebagai tabarruj jahiliah, kerana wanita sekarang bukan setakat mendedahkan muka dan kecantikan malah telah mendedahkan dan memperagakan separuh dari tubuh mereka, malah ada yang lebih dari itu. Istilah yang lebih sesuai dengan tabarruj zaman kini ialah yang pernah disebutkan Rasulullah s.a.w. sebagai الكاسيات ، العاريات yang tidak berpakaian, yang telanjang. Yakni ½ atau 2/3 telanjang.

Tabarruj yang diharamkan ialah:
- tabarruj di luar rumah dengan berhias bukan untuk suami.
- mendedahkan muka dengan tujuan memperagakan kecantikan dan merangsang keinginan lelaki
- bersolek dan berhias melampau
- menggunakan alat-alat kosmetik bukan untuk suami
- mempercantik rupa paras dengan membentuk alis, bibir, pipi dan lainnya bukan untuk suami

Termasuk dalam istilah tabarruj ialah fesyen-fesyen pakaian 
- Pada dasarnya pakaian wanita sama dengan lelaki, menutup aurat 
- Ciri pakaian syar`ie wanita ialah:
- mesti menutupi seluruh tubuh wanita terbabit, kecuali muka dan dua tapak tangan
- pakaian itu mesti longgar, tidak menunjukkan susuk tubuh
- tidak nipis
- bukan pakaian untuk bermegah
- tidak ada unsur memperagakan
- tidak menyamai pakaian lelaki
Pakaian yang tidak memenuhi ciri ini dikira bukan pakaian syar`ie.
Berpakaian kemas, semat dan ceria bukan tabarruj

Termasuk dalam pengertian tabarruj ialah memakai barang perhiasan diri. Firman Allah dalam surah al-Nur 31: ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها “dan jangankah mereka (perempuan) mendedahkan perhiasan mereka kecuali (yang pada kebiasaannya) terdedah”. Dan ولا يبدين زينتهن إلا لبعولتهن (dan janganlah mereka (perempuan) mendedahkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka …….”. Surah dan ayat sama.

Perhiasan ialah semua yang dijadikan perhiasan oleh wanita sama ada pakaian yang dipakai atau sesuatu yang dijadikan perhiasan diri.

Memakai perhiasan setakat memenuhi fitrah wanita yang sukakan perhiasan tidak dikira tabarruj dengan syarat ia tidak didedahkan.

Dikira sebagai berhias yang dibenarkan dan digalakkan ialah membersihkan diri daripada semua aspek.
Dikira sebagai membersihkan diri ialah membersihkan sesuatu yang fitrah:
- mencabut bulu ketiak
- mengandam misai
- menghilangkan bulu tundun
- berkhatan
- memotong kuku
- kata penyair : انتف لإبط وتقص الشارب ×× والعانة تحلق والختان واجب 
“cabut bulu ketiak, andamlah misai dan cukur bulu tundun, berkhatan itu wajib”.

Jenis Perhiasan.


Perhiasan yang diperbuat daripada emas, perak permata dan lainnya
Pakaian luar dan dalam. Yakni, pakaian luar dan dalam itu sendiri perhiasan, seperti yang dilabuccikan, disulam bunga sangat ketara, berlebihan atau lainnya.

Hukum berhias harus, malah ada kalanya disunatkan. Kecualilah perhiasan yang telah dinaskan haram, seperti emas bagi lelaki. Berhias sunat pada isteri yang suaminya ada bersama, bukan isteri yang suaminya berjauhan. 

Semua perhiasan ini harus selagi ia tidak termasuk dalam istilah tabarruj.

Termasuk ke dalam istilah berhias terlarang dan tabarruj ialah bersolek yang melampau dan mengubah sifat semula jadi manusia;
- mencabut atau dengan apa cara menghilangkan bulu muka, kecuali bagi yang bersuami dan yang kelihatan hodoh jika tidak dicabut
- mencabut atau membentuk alis kening, kecuali yang kelihatan hodoh atau mengaibkan
- memerah atau mewarnai muka, kecuali bagi yang bersuami.
- dll, seperti rambut palsu, wangian melampau, celak berlebihan…….

Secara umum berhias untuk suami dibolehkan malah digalakkan. Ia tidak dikira tabarruj
Berhias keluar rumah bukan untuk suami dikira tabarruj
Kebanyakan pakaian dan cara berpakaian, solek dan hias wanita hari ini telah melebihi takat tabarruj
Halangan tabarruj bertujuan menutup pintu-pintu rangsangan perbuatan maksiat, terutama rangsangan zina, perkosa, lebih-lebih lagi pada hari ini di mana iman sudah lebih nipis dari kulit bawang.
Halangan ini juga sebagai galakan wanita muncul dengan kecantikan yang asli, bukan kecantikan tiruan atau tipuan.

Penutup.


Sekali lagi diingatkan bahawa penulisan ini banyak menekankan setakat yang wajib bagi mengelakkan yang haram. Yakni, paras ketaatan paling minimum. Adalah digalakkan mengkaji perincian masalah dan membuat pendirian yang lebih warak.

Mudah-mudahan penulisan ini dapat dijadikan pegangan tanpa waswas dalam pergaulan seharian dengan keluarga mahram, keluarga bukan mahram dan ajnabi silang jantina. Semoga kita mendapat keredaan Allah
………..والله أعلم……….


create by : Nurul Ilani

                                                      

No comments:

Post a Comment