Tuesday 14 August 2012

Penggunaan lafaz suci

"Penggunaan MasyaAllah, Astaghfirullahhal’azim,
SubhanAllah dan Nauzubillah"



Penggunaan perkataan MasyaAllah,
Astaghfirullahhal’azim, SubhanAllah dan
Nauzubillah", sering diletakkan salah pada
tempatnya, terutamanya di dalam cerita-cerita/
drama-drama di dalam TV dan juga di dalam
kehidupan seharian.

Selalunya kita akan mendengar ungkapan
sebagaimana berikut jika kita rasa terkejut bila
mendengar atau melihat sesuatu yang negatif,
contohnya bila kita dengar orang yang buat maksiat

"Masya Allah, kau berjudi?"
atau juga bila kita dengar cerita seseorang yang
menzalimi ibu bapa, anak, isteri dan sebagainya

"Masya Allah, anak apa kau ni, buat begitu kat mak
ayah kau"

Begitu juga dengan kalimah "Subhanallah."

Biasanya jika berlaku perkara yang difikirkan ajaib,
takjub dan indah, ungkapan "Subhanallah" akan
keluar. Contohnya jika kita dengar orang dapat 20
A1 dalam SPM.

"Subhanallah, hebatnya budak tu.."

Begitulah kita, jika kita mendengar sesuatu yang
baik, pasti kita akan sebut "Subhanallah" dan jika
kita mendengar sesuatu yang buruk atau negatif ,
kita akan ungkap "MasyaAllah"

Mari kita memahami maksud-maksud ayat di bawah:

» MasyaAllah – Allah Maha Agung
» Astaghfirullahhal’azim – Aku memohon
keampunan Allah
» SubhanAllah – Maha Suci Allah
» Nauzubillah – Kami memohon perlindungan Allah
>>Innalillah wa inna ilaihi raaji’uun -

Jadi penggunaan “MasyaAllah” ketika berhadapan
dengan situasi yang tidak elok adalah salah dan
tidak diajarkan. Yang patut kita lafazkan pada situasi
kurang elok ialah “Astagfirrullahhalazim” (Aku
memohon keampunan Allah) ataupun
“Innalillah” (Kepada Allah kita kembali) ataupun
“Nauzubillah”(Kami memohon perlindungan Allah).
Kebanyakkannya menggunakan “MasyaAllah”

ketika terlihat perkara-perkara maksiat terutamanya
wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Ini banyak
berlaku di dalam TV. Sepatutnya, kita beristighfar
(memohon keampunan Allah) apabila melihat
perkara-perkara yang di tegah Allah.

Ungkapan "MashaAllah" sepatutnya digunakan
untuk perkara yang menggambarkan keindahan,
ketakjuban yang positif terhadap sesuatu perkara.

Sebagai contoh, kejayaan seseorang dalam
pelajarannya atau bidangnya perlu kita sebut
"MasyaAllah, hebatnya dia dapat 20 A1 dalam SPM"

"MasyaAllah, dia dapat cipta enjin solar berkelajuan
tinggi"

"MasyaAllah, cantiknya baju awak"
Dalam masa yang sama, penggunaan kalimah ini
boleh menghindari seseorang mendapat penyakit
"ain" atau sumpahan mata . Oleh itu tidak hairanlah
jika kita dapati di kebanyakan negara Arab, Pakistan
dan Iran , mereka akan melakarkan perkataan

"MasyaAllah" jika mereka sedang dalam proses
pembinaan bangunan dan kalimah itu kekal
sehinggalah bangunan siap dibina.
Jika diteliti dan dikaji, perkataan (ungkapan zikir)
yang kita gunakan (praktik) ketika berhadapan
dengan situasi di atas menjadi terbalik dan amat
berbeza dengan apa yang diajar oleh Islam.

Manakala penggunaan kalimah SubhanAllah pula
biasa digunakan oleh baginda SAW dalam perkara
yang dianggap pelik atau hairan pada perbuatan
yang kurang tepat. Sebagai contoh dalam sebuah
hadith yang diriwayatkan oleh Tirmizi, dari Abu
Hurairah ra mafhumnya

"Suatu hari aku berjunub dan ternampak
Rasulullah SAW berjalan bersama para sahabat,
lantas aku menjauhi mereka dan pulang untuk
mandi junub, setelah itu aku datang menemui
Rasulullah SAW. Baginda bersabda: 
Wahai Abu
Hurairah, mengapakah engkau melarikan diri tatkala
ternampak kami? Aku menjawab: 

Wahai
Rasulullah , aku kotor (berjunub) dan aku tidak
selesa untuk bertemu kalian. 

Rasulullah SAW
bersabda: Subhanallah!! sesungguhnya mukmin
tidak najis"

Lihatlah bagaimana ungkapan Nabi tika mendengar
kata-kata Abu Hurairah . Baginda tersentak dengan
fahaman Abu Hurairah yang kurang tepat. Oleh itu,
sepatutnya jika berlaku atau terdengar sesuatu yang
negatif , kita ungkapkan "Subhanallah", contohnya

"Subhanallah, awak belum solat lagi?"

"Subhanallah, kenapa boleh jadi macam tu?"

Mungkin kita tertanya-tanya, bagaimana pula ayat
Al-Quran yang menggunakan kalimah
"Subhanallah" ketika membicarakan soal
penciptaan langit dan bumi serta seisinya yang
cukup mengagumkan?

Jawapannya ialah kerana ketakjuban kita dan
keindahan yang memukau itu menyebabkan minda
kita melayang-layang yang memudahkan syaitan
menusuk 'jarumnya' untuk membayangkan zat
Allah, lantas kita perlu sucikan Allah dari segala
bentuk bayangan minda yang khilaf/salah. Juga
untuk memasakkan dalam jiwa kita sekalipun kita
takjub pada alam, Allah yang lebih layak untuk kita
kagumi.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment